Dalam perjalanan ini, sememangnya pahit. Kadangkala terasa ingin sahaja berhenti di tengah jalan, dan berputus asa. Namun, aku sedar yang Allah sedang memerhati, aku juga sedar bukan ini yang Rasulullah akan lakukan dalam sebuah kesusahan. Juga, kerana aku tahu si dia juga sedang perit dalam perjalanan ini.
Perjalanan ini perlu mujahadah. Dalam mujahadah perlu memperbaiki hati dan jiwa ini. Setelah semakin bersih, hati ini perlu aku lindungi. Selalunya, dalam kebosanan ingin sahaja aku keluar lepak bersama teman-teman, walaupun teman-temanku kebanyakan wanita. Namun, aku sedar kebosanan itu juga tandanya hati ini belum terhibur dengan hiburan jalan kebenaran.
Bukanlah aku menjauhi teman-temanku kerana aku membenci mereka, mahupun tidak suka akan diri mereka, sesekali tidak. Namun, cukuplah perkara penting sahaja yang aku bincangkan bersama mereka, kurangkan nada jenaka, dan berbicara yang baik sahaja. Aku perlu sedar yang ini perintah Allah, dan Allah Maha Mengetahui. Perintah-Nya adalah untuk menundukkan pandanganku kepada mereka yang bukan mahramku. Itulah hakikatnya menjaga hati.
Peritnya menjaga hati ini bukan kerana menjauhi si dia sahaja, tetapi menjauhi keburukan yang sentiasa lekat dalam hati ini. Oleh itu, aku perlu menjaga hati daripada mencari si dia, dan juga mencari teman-temanku yang bukan mahramku. Mengapa? Kerana syaitan itu licik. Selagi ada ruang dia akan berbisik. Bukan cinta jadi bisikannya, takut sahaja nafsu yang menjadi cadangannya. Biarlah Allah sahaja yang aku cari.
Aku tahu Allah sedang memerhatikanku menjaga hati, aku juga tahu yang Rasulullah pasti berbuat lebih hebat daripada apa yang aku lakukan ini, dan aku juga tahu yang pastinya si dia yang jauh di sana juga sedang menjaga hatinya. Bukan untuk aku sahaja yang haram untuk dia rindui, tetapi juga untuk mereka yang bukan mahram baginya yang takut nanti syaitan berikan bisikan. Aku tahu betapa hebatnya dia, oleh itu aku perlu lebih hebat. Jika si dia boleh, mengapa aku tidak?
Mungkin, inilah penzahiran cinta kerana Ilahi, mungkin. Setiap kali teringat si dia, teringat akan Allah, kerana si dia sedang bermujahadah, sedang mencari cinta Tuhannya, Allah.
Jika si dia boleh, mengapa aku tidak? Biarlah aku mensucikan hati daripada sebarang kotoran untuk menjadi imam kepada si dia yang lebih hebat pensucian hatinya.
No comments:
Post a Comment