Friday, August 31, 2012

Merdeka Yang Tidak Merdeka

Entri tipikal yang menceritakan bahawa rakyat Malaysia belum Merdeka, dan kemudiannya mengulas apa itu erti kemerdekaan sebenar.

Bagi aku, aku belum merdeka secara minda dan jiwa. Kenapa? Sebab aku masih tulis entri blog ini. Kalau aku sudah merdeka, tentunya aku sedang duduk atas kerusi malas, dan membaca novel tulisan sendiri.

Itulah merdeka untuk aku. Saat aku mampu mencapai keinginan jiwa yang pseudo-duniawi.

Wednesday, August 29, 2012

Kau Perlu Bersyukur

Rasa sakit, kecewa, hampa, dan sejenis dengannya merupakan nikmat.

Kesemuanya rasa yang buat kau rasa hidup. Buat kau rasa, "Ya, aku masih mampu rasa sebegini."

Kalau kau rasa gembira sepanjang masa, memang tidak normal.

Sebab, nanti rasa gembira tu sentiasa sama. Sehingga rasa gembira tu jadi normal, dan bukannya sebuah rasa yang menggembirakan.

Maka, bersyukur.

P/S: Kau adalah aku.

Tuesday, August 28, 2012

"Seperti Babi", Tesis Nanti?



Padahal siang tadi ingin menulis pasal The Panas Dalam, tapi memandangkan baru tadi seorang teman bercerita pasal adiknya yang merupakan geng tahun khinzir, juga macam adik aku, dan seorang lagi adik seorang teman hari tu, bertukar idea pula.

Ah, mungkin buat tesis nanti? Mengenani insan-insan yang lahir pada tahun '95 ini.

Tapi ini bukanlah sesuatu dalam bidang genetik rasanya. Ini sesuatu yang metafizikal. Tapi, aku minat juga perihal yang metafizik begini.

Tapi, aku tak minat perangai begini.

Monday, August 27, 2012

Puisi #2: Merpati

Ingin aku terbang tinggi bak merpati.

Angin dan awan teman perjalanan;

Bulan dan bintang sahabat setia;

Ah, sepanjang malam kami boleh bercerita

Tentang kota dan desa;

Tentang gunung dan lautan.

Ah, indahnya.

Ingin aku terbang tinggi bak merpati.

Friday, August 24, 2012

Entri Hipster-ish

Tulis entri pasal Ramadhan dan Eid terlalu mainstream.

Tulis entri banyak gambar-gambar terlalu mainstream.

Aku kurang selesa.

Wednesday, August 22, 2012

Puisi #1: Kunang-kunang

Kunang-kunang pun mahu terbang;

Ingin jadi bintang di langit yang gersang.

Seperti aku;

Ingin jadi bulan di hati yang satu.

-- 6:21 petang, atas lantai, bilik tidur, Sandakan.

Wednesday, August 15, 2012

Selamat Tinggal, Lucky.

Hari ini saat pemergiannya, Lucky. Sang arnab belaan di rumah ini. Satu daripada empat belas ekor, kesemuanya istimewa, kesemuanya keluarga.

Seperti saat pemergian Snow dahulu, awal sedikit dari pagi begini, cuti semester lepas. Namun, Snow dahulu sakit, dari normal menjadi sakit tenat dalam satu malam, tak mampu 'berdiri' hanya terlentang, dan tersentak sana sini, dalam keadaan terbaring mengiring pula, dan kaki Snow pernah tiba-tiba cuba berlari laju bak ketakutan. Dan perginya Snow di hadapan adikku, yang aku suruh belai dan jaga sewaktu nazaknya, sebab aku sibuk mengesat air mata sewaktu mandi awal pagi itu.

Tapi itu Snow, ini Lucky. Snow jika hidup pastinya sudah besar, manakala Lucky pula baru berumur dalam 3-4 bulan 'sekarang' ini.

Lucky sebenarnya cacat. Kakinya tidak kuat, boleh dikatakan lumpuh. Ada dua yang cacat daripada lima beradik -- Lucky dan Koko. Veterinarian kata mungkin tak cukup nutrien waktu bayi. Maka mereka kemudiannya ditinggalkan di sangkar berbeza daripada emak dan adik beradik mereka supaya mereka tidak dipijak.

Kasihan Lucky dan Koko. Mereka biasanya hanya baring mengiring, tidak mampu 'berdiri'. Pergi makan dan minum pun mengengsot, susah. Tapi, mereka saling bantu membantu, Lucky dan Koko, menjadi tempat sokongan sesama sendiri, bersihkan badan masing-masing, selalu bersama.

Kebiasaannya aku, atau mak, akan angkat mereka ke tempat mereka makan atau minum untuk memudahkan mereka.

Aku sebenarnya baru berjumpa dengan Lucky dan Koko pada awal cuti semester ini, sewaktu mereka agak kecil. Mungkin dalam 1 bulan begitu umur mereka. Maka, setiap pagi aku akan suapkan air bubur kepada mereka berdua menggunakan syringe, petang nanti adik aku pula yang menyuapkan vitamin. Begitulah rutin penjagaan Lucky dan Koko kebiasaanya.

Dan 'fast forward' ke hari ini, Lucky pergi meninggalkan teman sesangkarnya, Koko.

Pagi tadi, mak tengok Lucky tak sihat, dia tidak aktif macam biasa. Makan dan minum pun tidak. Suap pun dia tak mahu. Maka, mak asingkan dia dari Koko, letak dalam basket, bagi selimut. Mungkin kesejukan kata mak.

Kemudiannya setelah beberapa lama mak panggil aku. Katanya nafas Lucky ni macam tercekik, macam tersekat-sekat. Satu demi satu. Mata hitamnya pula besar, tak macam biasa. Mak kata macam nak mati.

Aku pun menjauhkan diri, tidak sanggup untuk melihat Lucky yang nazak, macam Snow juga dahulu, tapi kali ini adik aku di sekolah untuk berada di sisi Lucky. Nak pergi klinik haiwan, belum buka pula. Buntu.

Kami tinggalkan Lucky bersendirian, mungkin dia akan sembuh. Namun, setelah beberapa minit, aku menjenguk, masih sama, dan menjenguk lagi, masih sama lagi. Kemudiannya aku sudah tekad untuk tidak mendekat lagi, biar dia pergi dahulu, aku tidak sanggup melihat dia terseksa, biar mak yang bersama dia.

Tapi, mak kemudiannya bertelefon atas urusan kerja. Aku kini menguatkan hati, kerana tidak mahu Lucky terseksa dan nazak sendirian.

Maka aku jenguk lagi. Nafasnya masih tersekat, satu demi satu, badannya lemah. Aku ambil basket, dan aku belai Lucky di dahinya, tempat yang selalu aku belai dia sehari-harian. Aku perlahan-lahan belai, melihat matanya yang bergenang air, mataku pun mula bergenang. Adakah dia merasa sakit? Aku tidak sanggup, tapi aku perlu hadapi bersama.

Perlahan-lahan aku lagukan lagu Melodies of Life, macam selalu aku buat kalau bersendirian dengan mereka. Biar Lucky selesa, dahinya berusap, lagu biasa kedengaran, biar dia rasa selesa. Padahal nafasnya sudah tersekat, perlahan saja.

Maka, seperti aku dan Lucky tahu bakal tiba ajalnya aku menghentikan belaian dan pandangan mata Lucky pun berubah. Badannya seolah-olah tertarik, kakinya yang memang keras akibat kecacatan itu makin tegang, kepalanya macam terangkat dan tertarik sewaktu dia dalam keadaan mengiring itu. Seperti rohnya ditarik melalui ubun-ubun.

Aku tak tahu roh haiwan melalui proses kematian yang sama atau tidak, tapi itu apa yang aku nampak dengan mata sendiri. Dengan mata yang bergenang air mata melihat ahli keluarga sendiri di ambang kematian.

Maka dengan itu, nafas Lucky pun terhenti. Mak pula masih bertelefon urusan kerja. Bagus juga, supaya dia tidak melihat mataku yang sudah penuh dengan air mata. Pantas aku mengesat, namun tidak mampu kering.


Aku sedih melihat Lucky. Aku juga sedih melihat Koko yang kini bersendirian.

Tiada lagi Lucky untuk saling membersihkan badan masing-masing.

Tiada lagi Lucky yang kadangkala menjadi bantuan untuk ubah posisi baring mereka.

Tiada lagi Lucky yang merupakan adik beradiknya, yang selalu menemaninya.

Fikiran itu pantas melalui ruang fikiranku, maka mataku semakin basah walaupun tidak tumpah. Sudah, maka aku menguatkan hati dan tabahkan jiwa. Selesai sahaja mak bertelefon aku memberitahu berita sedih tersebut. Mak terus menjenguk, aku kemudiannya ke dapur, kalau aku di situ mendengar luahan hati mak pula, tumpah pula air yang di mata ini.

Aku pantas sahaja ke belakang rumah selepas itu, di seberang jalan, di bawah pokok palma, di situlah Lucky bersemadi. Di situ jugalah dahulu Snow bersemadi.

Selamat tinggal. Maafkan jika abangmu ini tidak menjaga kamu dengan baik.

Perginya Lucky seperti menunggu seseorang berada di sisinya untuk dia benar-benar meninggalkan halaman rumah ini. Mungkin sebab itu sewaktu kami tinggalkan dia sendirian dia cuba menahan nafasnya agar tidak terhenti, dan dia pergi sebaik sahaja aku datang menemani. Mungkin dia juga mampu merasa kasih sayang kami beri selama ini.

Dan melihat dia pergi dengan mata sendiri mungkin juga cara Allah bagi kesedaran kepadaku bahawa mati itu boleh datang bila-bila masa sahaja.

Monday, August 6, 2012

Seperti udara, angin, dan langit.

Tidak kelihatan, bak tidak wujud.

Tapi kehilangannya pasti engkau yang bakal tidak wujud.

Itulah cinta,

Seperti udara, angin, dan langit.

Tidak kelihatan, bak tidak wujud.

-- 1.59 pagi, ruang tamu, Sandakan.